5 DIS: DAP diingatkan agar jangan melampaui batas apabila mendesak pentadbiran kerajaan negeri Perak ditukar keseluruhannya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun pembangkang sudah dapat apa yang mereka mahukan, mereka jangan pula sampai berlebih-lebihan hingga menekan pentadbiran sedia ada.
“Saya nasihatkan kepada pembangkang (DAP), kamu sudah dapat apa yang kamu mahu.
“Tak payah nak sampai tahap hentikan pentadbiran kerajaan negeri untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Operasi, urusan pentadbiran mesti diteruskan,” katanya kepada media di Ipoh, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahu berisan Exco kerajaan negeri Perak dikekalkan, Ahmad Faizal memberitahu, setiap parti mempunyai pelbagai kehendak dan keperluan.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, apa juga keputusan yang dibuat, akan ditentukan secara konsesus.
“Bagi kehendak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mereka mahukan seberapa banyak jawatan.
“Begitu juga dengan PAS dan UMNO, tetapi apa keperluan bagi kita ialah tubuhkan sesuatu kerajaan yang stabil.
“Maka untuk menjayakan matlamat itu, kadang-kadang kita perlu berkorban untuk bekerjasama dalam sesebuah kerajaan yang stabil,” katanya.