5 DIS: Acara jualan mega Karnival Usahawan Desa secara dalam talian 2020 (eKUD@KPLB 2020) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam disasarkan mampu menjana jualan bernilai RM5 juta.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, acara itu yang mengetengahkan jualan kira-kira 1,400 produk usahawan desa adalah inisiatif serta keprihatinan kerajaan membantu usahawan terbabit memasarkan produk melalui platform digital.
“Ini adalah penganjuran pertama ekoran penularan COVID-19. Kita perlu fikir bagaimana untuk memeriahkan dan mewujudkan satu platform pemasaran dan meluaskan potensi produk luar bandar yang mempunyai standard antarabangsa,” katanya pada sidang media mengenai acara itu di Putrajaya, hari ini.
Beliau memberitahu, eKUD@KPLB 2020 membabitkan lebih 300 gerai pempamer secara maya merangkumi pelbagai kategori seperti pavilion, agensi kerajaan, korporat dan eNiaga untuk para usahawan.
Abdul Latiff menambah, sebanyak 145 sesi pertemuan secara dalam talian bagi padanan perniagaan turut dijadualkan sepanjang penganjuran eKUD@KPLB 2020.
“Program ini membolehkan usahawan luar bandar berkomunikasi dengan pembeli dari dalam serta luar negara menerusi platform digital eKUD@KPLB 2020,” jelasnya.
Menurut beliau antara pihak industri peruncitan yang terlibat adalah Petronas Dagangan Berhad, Tesco, TF Value-Mart serta Lulu Hypermarket.
“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia melalui ‘eSellers Sourcing Programme’ (eSSP) juga telah mempelawa platform Droppe, Blibli dan Bukalapak bagi pasaran Indonesia serta Figurative Japan bagi pasaran Jepun untuk turut menyertai sesi tersebut,” katanya.