5 DIS: Kerajaan berhasrat mahu melahirkan lebih ramai pembuat dasar dan pemimpin dalam kalangan warga profesion teknikal supaya hala tuju negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di samping itu, agensi dan syarikat strategik negara berasaskan teknologi perlu diterajui dari kalangan profesional teknikal.
“Ini selaras dan bertepatan dengan tema Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 tahun ini – Masa Depan Adalah Kita,” katanya ketika berucap melancarkan HPTN 2020 secara maya, hari ini.
Beliau menambah, bidang teknikal terutamanya kejuruteraan sering dikaitkan dengan istilah 3D iaitu kotor, sukar dan berbahaya yang secara langsung atau tidak langsung memberi persepsi negatif bagi pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi baharu.
Muhyiddin berpandangan, minat generasi baharu ini perlu dipupuk untuk menceburi bidang berkaitan teknikal.
“Trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.
“Penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D ini kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam,” jelasnya.
Menurut beliau, mereka yang memilih bidang-bidang teknikal berteknologi tinggi pasti akan menjadi rebutan di dalam pasaran pekerjaan di masa hadapan yang memberi pulangan yang besar.
Muhyiddin memberitahu, pada hakikatnya, hari ini Malaysia mempunyai banyak syarikat berasaskan teknologi yang bertaraf dunia seperti Petronas, UEM Group, Pharmaniaga Berhad, Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, dan banyak lagi, di mana majoritinya adalah dalam kalangan warga profesion teknikal.
“Ini adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak berdekad untuk memastikan wujud tenaga kerja professional teknikal yang mahir dan berketerampilan,” ujarnya.
Di peringkat sektor awam pula, kata beliau, Malaysia boleh berbangga dengan agensi teknikal terulung negara, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara.
“Sejak penubuhannya dalam tahun 1872, JKR telah melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sosio ekonomi seperti jalan raya, sekolah, hospital, universiti dan bangunan kerajaan.
“Terbaharu, kepakaran JKR terbukti apabila berjaya membantu menyiapkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam tempoh tiga hari sahaja.
“JKR juga telah maju kehadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (BIM) di dalam pelaksanaan projek yang akan memberi percambahan kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti 3D Printing, Internet of Things (IoT), Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality.
“Terima kasih JKR yang telah banyak berJasa Kepada Rakyat,” katanya.
Muhyiddin menambah, dengan peruntukan yang sangat besar dalam Belanjawan 2021, usaha kerajaan untuk memajukan profesion teknikal perlu diperkukuhkan dan hendaklah bermula dari peringkat awal pendidikan.
Katanya, kerajaan akan berusaha memperkukuh kualiti lulusan bidang sains, teknology, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Di peringkat lebih awal, para pelajar sekolah dan belia perlu digalakkan untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka, bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET sememangnya adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN