6 DIS: Penularan baharu COVID-19 yang dilaporkan hari meningkat kepada 1,335 kes berbanding 1,123 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes atau bersamaan 38.6 peratus.
Menurut beliau, keseluruhannya negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes dan negeri Sabah sebanyak 250 kes.
“Pertambahan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 72,694 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,039 kes.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga (3) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,332 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 126 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 382 kes.
“Kes kematian ke-381 dilaporkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh melibatkan seorang lelaki berusia 65 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang kronik.
“Kes ke-382 pula melibatkan pesakit wanit berusia 72 tahun. Beliau yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kluang,” jelasnya.
Tambah Noor Hisham, sebanyak 243 kes hari ini berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.
Katanya, ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (7 kes), Kluster Bakti (2 kes) dan Kluster Rumah Merah (1 kes).
Sementara itu, beliau memaklumkan bilangan kes sembuh daaripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,069 kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 61,273 kes (84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” kata Noor Hisham.
Kuala Lumpur, Johor dan Perak mencatatkan tiga angka kes baru COVID-19 dengan masing-masing berjumlah 178, 125 dan 108 kes.
Tiga negeri yang mencatatkan sifar kes baru hari ini ialah Sarawak, Perlis dan Putrajaya. – Oleh M. HERMAN HAMID