6 DIS: Beratus pengunjung pusat beli-belah Alamanda Putrajaya, gempar dengan kehadiran seekor babi hutan tersesat masuk premis berkenaan tengah hari tadi.
Video haiwan liar itu di dalam premis menjual peralatan sukan sempat dirakam pengunjung yang berada di pusat beli-belah kira-kira jam 12.30 tengah hari itu sebelum tular di media sosial.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran haiwan liar itu sebelum bergegas ke lokasi.
Berikutan itu Shaari berkata lapan anggota bomba bersama dua jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke pusat beli-belah itu untuk memberi bantuan.
Katanya, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati babi hutan itu masih berlegar-legar di dalam sebuah premis menjual pakaian dan peralatan sukan.
“Anggota bomba berjaya menghalau haiwan liar itu keluar dan menuju ke arah padang ragbi berdekatan pusat beli belah berkenaan.
“Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita sementar tadi.
Menurut sumber, haiwan liar itu dipercayai tersesat dan memasuki kompleks beli belah itu.
Setiap hari Ahad, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan operasi menembak babi hutan bagi memantau kehadiran haiwan liar itu di pusat pentadbiran kerajaan selain memastikan keselamatan penduduk.