6 DIS: PAS Perak komited mahu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan.
Pesuruhjaya PAS Perak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata perkara itu selari dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi PAS Pusat yang kekal menyokong kerajaan PN yang dibina bersama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Keputusan yang dibuat pucuk pimpinan mengatakan bahawa kita setakat ini kena menyokong kerajaan kita bina bersama di atas permuafakatan Pas, Bersatu dan UMNO, dan kita menghadap Ke Bawah Duli Tuanku, Tuanku menitahkan supaya kita menerima mana-mana calon dipilih.
“Jadi kita dah bersetuju mempertahankan kerajaan PN yang telah kita persetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Berikutan itu Razman berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS Pusat untuk membuat sebarang keputusan muktamad mengenai peryertaan ADUN parti terbabit dalam penubuhan kerajaan negeri Perak yang baharu.
“Bagi pihak Pas, kita menunggu arahan dan keputusan pucuk pimpinan parti. Kita rujuk dan perkara ini melibatkan politik nasional,” katanya.
Selain itu, Razman menegaskan bahawa hubungan PAS dan UMNO ketika ini seperti biasa dan mereka berpegang kepada prinsip permuafakatan di antara tiga parti itu.
“Hubungan kita macam biasa, prinsip PAS nyatakan dengan jelas kita tidak akan bersama Bersatu sahaja tanpa UMNO dan kita tidak akan bersama UMNO tanpa Bersatu, setakat ini itu prinsip yang kita bawa,”katanya.