6 DIS: Isu akaun media sosial hampir menyamai organisasi media arus perdana bagi mengelirukan orang ramai bukan sesuatu yang baru.
Ada kalanya akaun-akaun tersebut berjaya memperdayakan netizen dengan berita-berita mereka bagi yang tidak berhati-hati meneliti kandungannya.
Sebagai contoh, ‘BermanaTV’ (@Bermanadotcon) yang sekali imbas merupakan nama sebuah agensi berita nasional, Bernama.
Namun, setelah berbulan kehadiran akaun itu di dunia Internet, akhirnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Twitter, telah menggantung akaun ‘BermanaTV’ (@Bermanadotcon).
Ia berikutan akaun itu didapati melanggar Piawaian Komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media sosial itu.
SKMM dalam kenyataan hari ini menyatakan paparan-paparan di akaun tersebut sering mengelirukan masyarakat, dengan berselindung di sebalik nama parodi yang seolah-olah dikaitkan dengan sebuah agensi berita nasional.
“SKMM menghargai tindakan yang diambil oleh Twitter berdasarkan aduan yang dimajukan oleh skmm. Namun demikian, langkah penggantungan atau pemadaman akaun adalah bersifat reaktif dan sementara.
“Akaun-akaun sebegini berkemungkinan boleh diwujudkan semula dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan, orang ramai boleh memastikan kesahihan setiap maklumat dengan mengikuti saluran rasmi serta akaun media sosial yang mendapat lencana pengesahan biru atau kelabu daripada penyedia platform seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.
Menurut kenyataan itu, lencana ini mengiktiraf bahawa sesuatu akaun media sosial berasal daripada organisasi serta individu yang telah disahkan.
“MCMC akan terus menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun-akaun palsu di media sosial yang berniat jahat.
“Akaun palsu sengaja diwujudkan untuk melindungi identiti sebenar bagi tujuan menipu, menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.