6 DIS: Sebanyak 49 kluster aktif COVID-19 melaporkan pertambahan kes pada hari ini dengan tertinggi direkodkan dari Kluster Ceram di Negeri Sembilan melibatkan 155 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua tertinggi ialah Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes) diikuti Kluster Cergas (92 kes) dan Kluster Tembok (92 kes).
Katanya, hari ini juga menyaksikan tiga lagi kluster COVID-19 dikenal pasti membabitkan Negeri Sembilan, Sabah dan Johor Bahru.
“Kluster pertama ialah Kluster Ceram melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala.
“Hasil saringan di tempat kerja seterusnya mendapati sebanyak 170 kes lagi dikesan positif COVID-19. Sehingga 6 Disember, sejumlah 450 individu telah disaring, di mana 171 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, kluster kedua hari ini ialah Kluster Berhala melibatkan daerah Sandakan di negeri Sabah.
Katanya, kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 20 November hasil saringan komuniti.
“Sehingga 6 Disember 2020, sejumlah 208 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.
Terakhir katanya, Kluster Jalan Tampoi melibatkan daerah Johor Bahru di negeri Johor.
Ujar Noor Hisham, kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala.
“Sehingga 6 Disember 2020, sejumlah 212 individu telah disaring, di mana 17 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham dalam kenyataan itu memaklumkan, terdapat sebanyak 388 kluster telah dilaporkan termasuk tiga kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 201 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Palma, Kluster Merpati dan Kluster Makekar.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau berjumlah 187,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID