7 DIS: Sebanyak 1,600 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini yang merupakan hari kelima berturut-turut kes harian melepasi empat angka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 584 kes atau 36.5 peratus adalah daripada kes positif melibatkan kluster berkaitan pusat tahan sementara (PTS) dan penjara.
Menurut beliau, keseluruhannya Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes (33.8 peratus), diikuti Selangor 426 kes (26.6 peratus) dan Sabah 248 kes (15.5 peratus).
“Lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan di negeri tersebut. Kes-kes ini adalah terasing di dalam kawasan penjara.
“Lain-lain kes di penjara atau PRS ialah Kluster Tembok (49 kes), Kluster PTS Sibuga (17 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes), Kluster Matambai (7 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Tambah Noor Hisham, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini berjumlah sebanyak 74,294 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,604 kes dan daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Sehingga kini, terdapat 129 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 384 kes.
“Kematian ke-383 adalah di Hospital Kota Kinabalu melibatkan seorang wanita berusia 76 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi manakala kematian kedua adalah di Hospital Semporna. Pesakit adalah lelaki berusia 59 tahun dengan latar belakang kencing manis,” jelasnya.
Sementara itu, kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,033 kes.
“Inimenjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 62,306 kes (83.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.
Dalam pada itu, hanya Terengganu, Perlis dan Putrajaya tidak melaporkan pertambahan kes positif hari ini.
Lain-lain negeri melaporkan kes baru Kuala Lumpur dengan 148 kes, Johor (98), Pulau Pinang (55), Perak (54), Kedah (18), Labuan (5), Sarawak (2), Kelantan (3) manakala Pahang dan Melaka masing-masing satu kes. -Oleh M. HERMAN HAMID