7 DIS: Kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Perak bersepakat untuk mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu.
Perkara itu disahkan oleh ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dalam satu kenyataan melalui Facebook hari ini.
“Kami semua ADUN UMNO telah secara konsensus mencalonkan Saarani sebagai Menteri Besar Perak.
“Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa spekulasi lagi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi MB Perak.. insya-Allah..,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan yang disandang adalah satu tanggungjawab dan bukan untuk direbutkan.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 26 ADUN telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Saarani yang juga ADUN Kota Tampan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Perak bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar berikutan keputusan undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu yang tidak memihak kepada ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Keputusan undi belah bahagi yang dijalankan mendapati sebanyak 48 ADUN tidak bersetuju berbanding 10 bersetuju manakala 1 undi rosak.