8 DIS: Seramai 52 suspek yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes tembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari.
Mereka ditahan reman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata 22 suspek yang tamat tempoh reman, disambung lagi hari ini, manakala 30 orang akan direman esok mengikut SOSMA untuk siasatan lanjut.
“Seorang suspek pula dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di Kangar, hari ini.
Beliau berkata, semua 52 suspek berumur 20 hingga 65 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah terancang.
Mengenai tiga suspek warga Thailand yang ditahan di negara itu, Surina berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand supaya membenarkan polis membawa masuk suspek utama kes itu ke negara ini.
Katanya, terdapat beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi memastikan semua suspek terbabit dibawa ke muka pengadilan.
Pada 24 November lalu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.