8 DIS: Dewan Negara akan mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang yang dijadualkan bermula pada 16 Disember sehingga 23 Disember ini dilanjutkan selama dua hari lagi.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, langkah itu bagi membolehkan lebih ramai Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 serta urusan kerajaan lain sehingga selesai.
Menurut beliau, perkara ini dipersetujui oleh Ahli-Ahli Dewan Negara menerusi Mesyuarat Khas Penyelarasan dan Persiapan bagi mesyuarat ketiga, penggal ketiga yang diadakan hari ini.
“Mesyuarat bersetuju untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengusulkan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis agar jumlah hari persidangan Dewan Negara ditambah kepada dua hari iaitu 28 Disember dan 29 Disember 2020.
“Sebagai memanfaatkan sepenuhnya masa yang terhad, mesyuarat juga bersetuju ditiadakan waktu rehat biasa semasa sesi perbahasan Dewan Negara.
“Sama sebagaimana diamalkan di Dewan Rakyat, dengan waktu persidangan adalah dari jam 10 pagi hingga 2 petang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran persidangan, Rais mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Negara agar perbahasan mestilah secara padat, berkualiti serta harus mempraktikkan akhlak dan budaya tinggi.
“Sepanjang sesi persidangan, semua prosedur operasi standard (SOP) anti COVID-19 akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH