8 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang mengkaji dengan teliti bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran penerokaan dan pengeluaran elemen nadir bumi (REE) serta pembangunan REE bukan radioaktif dalam memastikan perlombongan dijalankan secara mampan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, SOP tersebut akan merangkumi keseluruhan aktiviti dalam rantaian nilai mineral dari perlombongan sehingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progesif dan proses pengilangan.
Menurut beliau, pematuhan SOP tersebut berpandunkan kepada Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kaji Bumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Penyelarasan Perindustrian 1974 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri.
“Pematuhan sepenuhnya SOP merupakan syarat utama sebelum memulakan perlombongan REE yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong oleh GMG namun begitu itu tidak bermakna kerajaan sudah bersedia membenarkan perlombongan REE pada masa ini. Sebagai contoh, kerajaan tidak akan benarkan sebarang aktiviti REE khususnya di hutan simpan kekal tanpa sebarang penilaian.
“Ini bagi mengelakkan insiden pencemaran yang boleh jejaskan alam sekitar, sumber air dan kesihatan masyarakat dan juga adalah kepentingan kepada negara dan rakyat. Mana-mana pihak lakukan perlombongan tapa kelulusan, tidak teragak-agak ambil tindakan melalui akta dan perundangan,” katanya dalam waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kuantan, Fuziah Salleh tentang perincian kebenaran penerokaan REE di Kedah dan di tempat lain dan syarat-syarat yang diperlukan.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar juga memberitahu Majlis Mineral Negara yang telah diaktifkan semula akan meneliti dengan terperinci SOP REE dan akan dibincangkan bersama kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan di samping akan melibatkan pandangan daripada orang ramai.
“Mesyuarat pertama dijangka akan diadakan pada penghujung Disember ini. Walaupun pengeluaran permit untuk pengeluaran mineral di bawah kerajaan negeri namun penetapan syarat-syarat akan dibantu bersama melibatkan kerjasama di antara agensi di peringkat Pusat dan negeri bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum permit diberikan.
“Sumber REE ini di Malaysia yang mempunyai potensi merupakan sumber nadi bumi bukan radioaktif yang telah dilakanakan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Fuziah berkenaan jika elemen REE mengandungi thorium, Shamsul Anuar mengakui perkara tersebut namun unsur itu yang ada padanya sekitar 0.2375 gram, adalah sangat rendah dan telahpun dikategorikan sebagai bahan bukan radioaktif.
“Merujuk pada Perlesenan Tenaga Atom sekiranya bahan keaktifan tidak melebihi 1 gram bermaknan dia dikecualikan dari Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta304) dan dianggap bukan radioaktif. Oleh sebab itu, antara prasyarat yang ditetapkan gendaklah mematuhi LPTA berkaitan kadar keradioaktifan bahan tersebut.
“Kementerian dan kerajaan tidak keluarkan sebarang kelulusan di mana-mana negeri setakat ini khususnya di kawasan hutan simpan kekal. Tidak ada kelulusan diberi kepada mana-mana negeri setakat ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH