8 DIS: Kerajaan Pusat perlu melantik ejen atau syarikat dari Sabah dan Sarawak untuk mengedarkan bekalan vaksin COVID-19 kepada rakyat kedua-dua negeri berkenaan secara lebih efektif.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan pusat untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada beberapa syarikat luar negara dalam usaha menangani impak pandemik COVID-19.
Mohamad yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Inteleks Malaysia (MyIPO) berkata beliau berharap bekalan vaksin itu bakal membawa harapan bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat negara ini.
“Justeru, saya berharap Kerajaan Pusat akan melantik ejen atau syarikat-syarikat dari Sabah dan Sarawak untuk mengedarkan bekalan vaksin COVID-19 dengan efektif agar rakyat kedua-dua Sabah dan Sarawak bakal menikmati bekalan vaksin COVID-19.
“Saya berharap ejen pengedar dari Sabah dan Sarawak akan diberikan kuota pengedaran di kedua-dua negeri tersebut tanpa peluang itu hanya dimonopoli oleh pengedar-pengedar dari Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam usaha meningkatkan kualiti dan kemudahan kesihatan bagi rakyat Sabah, Mohamad berharap pendekatan yang lebih baik akan digunakan dan dipertimbangkan oleh kerajaan Pusat, terutamanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, ini penting untuk mempercepatkan dan meningkatkan keberkesanan proses pengedaran atau ‘delivery’ di Sabah yang merupakan negeri yang paling teruk dikesani oleh pandemik COVID-19.
“Oleh itu, saya yakin bahawa sekiranya pelantikan pengedar dibuat dalam kalangan ejen atau syarikat tempatan dari Sabah, ia akan memudahkan proses pengedaran dan memanfaatkan rakyat negeri itu.
“Saya berpandangan bahawa pengagihan vaksin juga seharusnya merata tanpa tertumpu kepada negeri-negeri di Semenanjung sahaja. Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan peluang dalam proses pengedaran vaksin ke seluruh negara. Saya berharap kerajaan Pusat akan mempertimbangkan cadangan ini dengan serius,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI