8 DIS: Semua menteri dan pegawai kerajaan di Indonesia tidak akan dilindungi sekiranya mereka didapati terlibat dalam kegiatan rasuah.
Memetik laporan Tempo, Presiden Indonesia, Joko Widodo menegaskan, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“Saya tidak akan melindungi mereka yang terbabit dalam rasuah. Sejak awal lagi saya mengingatkan semua menteri Indonesia supaya tidak melakukan rasuah,” katanya di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengulas laporan Suruhanjaya Membanteras Rasuah Indonesia (KPK) yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Sosial, Juliari Peter Batubara terlibat dalam kes rasuah membabitkan program bantuan sosial COVID-19 untuk wilayah Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi tahun ini.
Juliari disyaki terlibat dengan dua pegawai kementerian berkenaan iaitu Matheus Joko Santoso dan Adi Wahyono dalam perbuatan menerima sogokan bernilai 17 bilion rupiah (RM4.9 juta).
Wang tersebut dikatakan sebagai ‘bayaran’ kerana memberi bantuan sosial makanan asas kepada pesakit COVID 19 di wilayah-wilayah berkenaan.
Jokowi telah melantik Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy, untuk memangku jawatan Juliari pada masa ini.
Juliari merupakan menteri kedua di bawah pentadbiran Jokowi yang disyaki terlibat dalam rasuah.
Sebelum itu, Menteri Maritim dan Perikanan, Edhy Prabowo ditahan pada 25 November lalu berhubung keputusan meluluskan lesen eksport benih udang galah.