8 DIS: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Memetik laporan Bernama, panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed berkata mahkamah berpendapat, berdasarkan rekod, tidak menunjukkan terdapat ketidakadilan dalam kes tersebut.
Beliau berkata, penekanan Azilah berhubung wujudnya bukti (mendakwa terima arahan daripada pihak ketiga untuk menjalankan pembunuhan itu), tidak membawa kepada situasi luar biasa yang memerlukan semakan.
Selain Hakim Azahar, hakim lain yang menganggotai panel itu adalah Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Yusof.
Terdahulu, panel yang sama menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah.
Hakim Azahar, bagaimanapun berkata peguam (Najib) Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah bebas untuk hadir di mahkamah berkenaan, sebagai pemerhati bagi pihak Najib dalam permohonan semakan itu.
Azilah, 43, memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 dan memohon perintah untuk perbicaraan semula.