8 DIS: Cubaan pembangkang menolak kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) gagal apabila mereka tewas dalam undi belah bahagi dengan 109 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 96 tidak menyokong.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu turut menyatakan, seramai 15 Ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian dilakukan.
Untuk rekod, undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya kelulusan belanjawan tersebut diputuskan menerusi kaedah itu dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Berikutan itu, MOTAC boleh menggunakan peruntukan berjumlah RM1.14 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan bagi tahun 2021 iaitu peningkatan 2.75 peratus berbanding RM1.109 bilion tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC sudah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memulihkan semula sektor pelancongan selepas pintu sempadan negara kembali dibuka semula nanti.
Beliau berkata, dalam usaha menyelamatkan industri pelancongan negara, MOTAC sudah melancarkan Pelan Pemulihan Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menerusi pelbagai strategi.
“Strategi pertama dengan memulihkan kembali keyakinan orang awam untuk kembali melancong di mana komuniti pelancongan perlu mengamalkan pembudayaan baharu dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kedua, merancakkan semula pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan yang lebih kreatif dan menarik menerusi platform digital.
“Ketiga, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan dan kebudayaan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan selaras dengan SOP pengoperasian,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI