9 DIS: PAS mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu di Perak hadir ke istana setelah menerima titah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
Menurut beliau, PAS sebagai sebuah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.
“PAS akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Semalam, tiga ADUN PAS di Perak iaitu Razman Zakaria (Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) membatalkan rancangan menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh.
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.