9 DIS: Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri untuk menjadi individu pertama di negara ini disuntik vaksin COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah itu berkata, beliau tidak takut berbuat demikian kerana ‘mahu sihat’.
“Panglima perang kena dulu,” katanya sebelum disahut dengan ketawa daripada Ahli-ahli Parlimen yang lain.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Bung Moktar turut menasihatkan rakyat supaya jangan bimbang tentang keberkesanan vaksin COVID-19 kerana pengeluarnya telah memberi jaminan bahawa vaksin yang dihasilkan adalan tulen.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan agar kerajaan membenarkan hospital swasta merawat kes COVID-19 bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan termasuk di Sabah.
“Ada hospital swasta menawarkan, sudah tentu ini buka peluang yang baik, pesakit-pesakit boleh dirawat dengan baik,” jelasnya.
Sementara itu, Bung Moktar berharap agar Kementerian Kesihatan turut memberi keutamaan dalam menambah baik kemudahan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Beri keadilan kepada rakyat Malaysia di luar bandar, jangan tengok di bandar sahaja.
“Kalau di bandar, saya nampak, asal ada masalah selesai, tetapi di luar bandar macam tak nampak,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN