9 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang akan bekerjasama bagi membaik pulih cerun runtuh di Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling di Jerantut, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bagi menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara berkala, KPLB telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM38.9 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun dan lain-lain.
“Kerja-kerja pembaikan dijangka akan dimulakan pada tahun 2021 tertakluk kepada kelulusan peruntukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kejadian cerun runtuh itu dilaporkan oleh media apda 6 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata, jalan tersebut telah melibatkan jajaran di Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling adalah sebahagian daripada enam fasa projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) dilaksanakan oleh KPLB yang menelan belanja sebanyak hampir RM1.1 bilion.
Menurut beliau, jalan sepanjang 107 kilometer tersebut menghubungkan Kuala Tahan di Jerantut Pahang sehingga ke Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun Terengganu, di mana pada masa ini dua fasa telah siap sepenuhnya iaitu pada 26 Oktober 2015 fasa 1 dan 30 Jun 2018 fasa 2.
“Kedua-dua fasa berkenaan telahpun memperolehi Certificate of Practical Completion (CPC) serta Certificate of Making Good Defects (CMGD) yang dikeluarkan masing-masing pada tahun 2017 dan 2018,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Abd Latiff memberitahu, kejadian cerun runtuh yang berlaku adalah semasa proses rundingan untuk pewartaan sebelum diserahkan kepada JKR Pahang.