9 DIS: PAS Perak akan menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila dititahkan secara rasmi berbuat demikian, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria
Beliau berkata, pihaknya belum menerima secara rasmi titah menghadap Sultan Nazrin berhubung situasi politik di negeri itu.
“Setakat ini, kami (PAS Perak) belum terima lagi secara rasmi titah menghadap Tuanku,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu telah mengarahkan semua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perak supaya hadir menghadap setelah menerima titah rasmi daripada Sultan Nazrin.
Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS adalah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).
Tiga ADUN terbabit membatalkan majlis menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini yang dijadual, jam 3 petang atas arahan pucuk pimpinan parti.
Selain PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga tidak menghadap Sultan Nazrin semalam
Menurut Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pihaknya belum menerima titah secara rasmi untuk menghadap Sultan Perak.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada ADUN BERSATU dan PAS negeri untuk menghadap baginda berhubung kemelut politik negeri.