9 DIS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) komited meneruskan pelbagai usaha untuk meningkatkan kadar rizab margin air terawat di seluruh negara, pada masa depan.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kadar rizab margin air terawat di seluruh negara bagi tahun 2019 adalah sebanyak 11 peratus iaitu bersamaan 1,832 juta liter sehari (JLH).
Malah, Ahmad Masrizal berkata sehingga suku kedua (Q2) tahun 2020, kadar rizab margin air terawat adalah pada tahap 11.5 peratus bersamaan 1,943 JLH.
“Justeru, KASA melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertindak sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara telah menetapkan indeks petunjuk utama (KPI) rizab margin yang perlu dipatuhi dan dicapai oleh operator air setiap negeri adalah sebanyak 10 hingga 15 peratus.
“Dalam hal ini, sehingga Q2 2020 terdapat enam negeri yang merekodkan kadar rizab margin air terawat di bawah 15 peratus iaitu Johor (11.3 peratus); Sabah (8.3 peratus); Perlis (7.1 peratus) dan Selangor (1.5 peratus) dengan Loji Langat 2 belum siap sepenuhnya – dijangka FASA 1 siap pada 2023 dan akan meningkatkan rizab margin sebanyak 10 peratus,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang meminta menteri berkenaan menyatakan inisiatif KASA dalam mengatasi isu margin rizab air terawat negara yang kini berada pada tahap rendah dan apakah perancangan jangka panjang bagi menambah punca air.
Berikutan itu, Ahmad Masrizal berkata KASA sedang dan akan mengambil pelbagai pendekatan bagi meningkatkan kadar rizab air terawat bagi negeri berkenaan.
Beliau berkata antaranya ialah menerusi pembinaan loji rawatan air baru dan menaiktaraf loji rawatan air sedia ada supaya kapasiti pengeluaran loji rawatan air dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan juga melaksanakan program bagi mengurangkan kadar kadar air tidak terhasil (NRW) dengan melibatkan kerja-kerja penggantian paip yang usang dan pembaikan tangki-tangki perkhidmatan yang telah rosak dan bocor juga sedang giat dilaksanakan supaya kapasiti air terawat di kawasan agihan dapat dipertingkatkan.
“Kita juga melaksanakan program Pengurusan Permintaan Air di mana tumpuan diberikan bagi mengurangkan permintaan bekalan air melalui pelbagai kaedah seperti penggunaan mandatori produk cekap air, penerokaan sumber air alternatif, audit kecekapan penggunaan air dan penggunaan sumber air yang lebih efisien di semua sektor ekonomi seperti domestik, industri, pertanian dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana kebanyakan loji rawatan air di Malaysia menggunakan air sungai (surface water) sebagai punca utama sumber air mentah.
“Sejajar dengan faktor perubahan iklim, bagi meningkatkan sumber air mentah kerajaan telah menetapkan dasar baru penerokaan sumber air di mana pembinaan kolam takungan di kawasan hilir sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), pembinaan ampang jajar (barrage), pembinaan horizontal collector well dan lain-lain,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI