10 DIS: Kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar secara undian dengan lebih suara menyokong berbanding menolak di Dewan Rakyat, 26 November lalu, membuktikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tidak timbul langsung soal Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Bersatu Pagoh sudah hilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.
“Pihak pembangkang mengatakan khususnya bahawa sekiranya Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 tidak diluluskan ianya adalah satu menifestasi atau andaian bahawa Perdana Menteri sekarang telah hilang kepercayaan majoriti.
“Namun, pada 26 November lalu, Belanjawan 2021 diluluskan secara sebulat suara manakala kurang ahli Parlimen tidak bersetuju. Itu adalah rekod Dewan Rakyat ini. Oleh itu, tidak timbul langsung soal kehilangan sokong majoriti Ahli Dewan Rakyat terhadap YAB Pagoh,” katanya ketika menjawab soalan di sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Takiyuddin menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri Malaysia akan dibentangkan, dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat.
Mengenai 25 usul tidak percaya dan dua usul percaya disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata, ia tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3), dan Peraturan 14 dan 15 (1) dengan jelas menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata perkara itu bukanlah satu halangan kepada mana-mana pihak boleh mengemukakan bukti kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan sokongan majoriti kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
“Kita terbuka sekiranya ada Ahli Parlimen boleh mengemukakan akuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong melebihi 112 Ahli Dewan Rakyat maka kita akan akur sebagai satu proses demokrasi di negara kita ini.
“Bagi menentukan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti ahli dewan untuk menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memperuntukkan tatacara jelas mengenainya.
“Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif berkenaan perkara ini dengan menentukan apa-apa cara yang sesuai untuk menentukan individu pada hemat baginda mendapat kepercayaan ahli dewan termasuk menerima apa-apa dokumen mahupun mendapatkan kenyataan lisan atau bertulis daripada setiap ahli dewan,” katanya.
Terdahulu, Takiyuddin menjelaskan pelantikan dan pemecatan seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk berdasarkan Perkara 43 Fasal 2A, Perlembagaan Persekutuan menetapkan menjelaskan bagaimana Perdana Menteri dilantik. – Oleh HAIKA KHAZI
Get real time updates directly on you device, subscribe now.