10 Dis : Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 25, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar wanita di Mahkamah Seksyen di sini.
Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertubuhan tersebut dan memohon agar dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan, pendakwah selebriti itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 22 tahun di rumah sewanya, di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana di sini, antara jam 3 hingga 4 pagi, pada 17 Oktober lalu.
Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan dengan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukannya adalah serius dalam beberapa kes lain, selain dibimbangi tertuduh akan menggangu mangsa.
Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 19 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Di Mahkamah Majistret pula, Syed Shah Iqmal telah didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama.
Jika disabitkan kesalahan, pendakwah selebriti itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahu atau denda atau sebat mengikut peruntukan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Syed Shah Iqmal juga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan rogol.