10 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima peruntukan berjumlah RM285.6 juta untuk bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Sarawak, tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan itu adalah untuk 16 projek yang akan memberikan bekalan elektrik kepada 3,200 buah rumah.
Menurut beliau, projek BELB juga di Sarawak turut dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Mengenai projek bekalan air luar bandar (BALB) di Parlimen Kota Samarahan terdapat satu projek BALB yang sudah siap sepenuhnya pada 19 Mac 2018 iaitu projek saluran paip utama dari Loji Batu Pitang ke Tangki Bukit Entingan, ke Tangki Batu 9 serta Batu 9 Kuching yang membabitkan kos sebanyak RM92 juta.
“Bagi pelaksanaan projek jalan luar bandar (PJLB) di Sarawak sebanyak 64 projek diluluskan dan akan dilaksanakan di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Daripada jumlah itu 39 projek masih di peringkat pelantikan perunding dan reka bentuk, tiga projek di peringkat perolehan, sembilan dalam pembinaan, 13 projek sudah siap sepenuhnya,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen GPS Kota Samarahan, Rubiah Wang berhubung pencapaian dan tindakan terkini kementerian untuk menambah infrastruktur kawasan luar bandar seperti bekalan air, bekalan elektrik, ameniti sosial, jalan perhubungan khususnya di Kota Samarahan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, KPLB juga meluluskan empat projek jalan perhubungan desa (JPD) bernilai RM1.57 juta di Parlimen Kota Samarahan bagi tahun 2020.
Beliau berkata sehingga Oktober 2020 dua daripada projek terbabit sudah siap sepenuhnya manakala dua lagi sedang di peringkat pelaksanaan.
“Bagi program ameniti sosial (PAS) pula tiga projek bernilai RM1.25 juta sudah diluluskan KPLB bagi Parlimen Kota Samarahan bagi 2020,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI