10 DIS: Prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia pada 2019 adalah bertambah baik berdasarkan 17 matlamat yang ditetapkan dan diukur melalui pencapaian 108 petunjuk statistik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara perkara yang menunjukkan kemajuan pencapaian positif adalah di bawah dimensi kemajuan masyarakat.
Menurut beliau, dimensi tersebut menunjukkan peratusan isi rumah yang hidup di bawah paras kemiskinan nasional telah bertambah baik kepada 5.6 peratus pada 2019 berbanding 7.6 peratus pada 2016.
“Dimensi kemakmuran menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita pada harga malar bertumbuh 3.9 peratus pada 2019 berbanding 3.6 peratus pada tahun 2018,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Indikator SDG Malaysia 2019, hari ini.
Mustapa menambah, peratusan individu yang menggunakan internet meningkat 3.0 mata peratusan kepada 84.2 peratus pada tahun 2019 berbanding 81.2 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau memberitahu, penggunaan internet di bandar dan luar bandar masing-masing turut meningkat 2.6 mata peratusan dan 3.3 mata peratusan.
Walau bagaimanapun, Mustapa berkata, prestasi SDG Malaysia tahun ini mungkin terjejas akibat COVID-19, sama seperti negara-negara lain. – Oleh HUSSAINI AMRAN