10 DIS: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada pegawai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan meminta sejumlah bayaran wang tunai bagi tujuan tertentu.
Menurut EAIC, amaran berkenaan dikeluarkan susulan beberapa aduan yang diterima oleh suruhanjaya berkenaan daripada mangsa yang telah menerima panggilan palsu berkenaan sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan itu, orang ramai yang menerima panggilan meragukan ini dinasihatkan agar berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada pihak EAIC menerusi talian dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.eaic.gov.my.
“EAIC telah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat panggilan palsu ini bagi melindungi kepentingan orang awam serta menjaga reputasi EAIC,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI