11 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)memberi amaran kepada majikan supaya jangan terpedaya dengan helah pihak tertentu yang tiada latar belakang kesihatan dan orang tengah yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan bagi Covid-19.
Presidennya, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, pihak terbabit dikatakan menyasarkan doktor (GP) yang sedang berjuang dengan wabak itu dan didapati cuba memaksa mereka untuk menerima harga terendah untuk khidmat profesional yang diberikan, semata-mata mahu memperoleh diskaun lebih besar daripada majikan.
“MMA sangat prihatin dengan hal ini, kerana sekiranya khidmat profesional (doktor) tidak dibayar setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, ia mungkin tidak dapat menanggung kos ujian saringan sekali gus akan menjejaskan kualiti perawatan.
“Hakikatnya, kos akan menjadi lebih rendah jika majikan dapat berurusan dan berbincang secara langsung dengan doktor kerana ia tidak membabitkan bayaran kepada orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu ketika ini, terdapat 626 klinik panel Pertubuh Keselamatan Pekerja (Perkeso) yang menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing dan senarai lengkap boleh didapati menerusi laman webnya di www.psp.perkeso.gov.my
“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kid ujian RTK Antigen hanya dapat dilakukan oleh pegawai perubatan profesional yang terlatih mengikut garis panduan pencegahan penyakit berjangkit yang ketat, oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“MMA mengingatkan bahawa seseorang mungkin berdepan berisiko tinggi mengalami kecederaan atau masalah kesihatan lain atau memperoleh keputusan ujian negatif yang palsu, sekiranya ujian saringan (COVID-19) tidak melalui prosedur yang betul,” katanya.-Haika Ghazi