11 Dis – Antara punca jumlah kes positif Covid19 meningkat dua kali ganda di Sabah daripada 274 kes semalam kepada 532 hari ini adalah disebabkan kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal, demikian jelas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri bagi perkembangan Covid19 menjelaskan Kluster Rumah Merah PTS Menggatal telah mencatatkan 150 kes hasil dalam sairangan besar-besaran yang dilakukan semalam.
“Kes-kes dilaporkan positif di PTS Manggatal pada 10 Dis merupakan hasil daripada pemantauan berterusan yang dilakukan terhadap tahanan yang ditempatkan di sana. Ada beberapa orang tahanan telah mula menunjukkan simptom dan didapati positif COVID-19 setelah ujian pengesahan dilakukan.
“Mereka dikesan negatif melalui saringan pertama kerana pada masa itu mereka berkemungkinan berada dalam fasa jangkitan awal dan bilangan virus dalam tubuh adalah rendah. Melalui siasatan dijalankan, ia bukanlah jangkitan baharu.
“Hasil saringan Kluster Dbajaru di Lahad Datu turut menyumbang kepada peningkatan kes pada hari ini dengan merekodkan 133 kes. Setakat ini, seramai 1,702 tahanan telah disaring dengan menggunakan kaedah rt-PCR,” jelasnya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah hari ini.
Sementara itu, Masidi menegaskan kerajaan negeri masih mengekalkan SOP yang dikuatkuasakan di setiap restoran dan kedai makan iaitu mengikut size meja selain perlu mengamalkan pematuhan penjarakan fizikal seperti ditetapkan sebelum ini.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana COVID-19 Sabah pada hari ini. Mesyuarat memutuskan bahawa Sabah masih mengguna pakai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa sehingga 20 Dis,” katanya.