11 Dis : Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang yang dilaporkan tergelincir di jeti nelayan, Tanjung Balau di sini semalam, disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Mayat Allahyarham Zulfikrie ditemui kira-kira jam 3 petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang telah menjalankan operasi mencari sejak 7 pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, mayat Zukfikrie ditemui dicelahan batu kira-kira 500 meter daripada tempat mangsa tergelincir.
“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 5 petang, dan sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Mangsa dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir dari kerangka jeti ketika membuat kerja membaik pulih jeti Tanjung Balau.
“Kami dimaklumkan ketika itu hujan lebat dan laut berombak serta angin kuat di tempat kejadian. Operasi mencari dan menyelamat dilakukan di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu di jeti nelayan Tanjung Balau, Jeti Chalet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balau,” katanya.
Dalam kejadian sekitar 5 petang semalam, Mohd Zulfikrie Buang, 24, tergelincir akibat licin berikutan cuaca hujan ketika membaiki jeti nelayan.