13 NOV: Semakin ramai Ahli Parlimen daripada UMNO yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan bakal bertukar ‘angin’ dan berkomplot bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), tampil menafikan penglibatan mereka.
Terbaharu, dua Ahli Parlimen daripada UMNO iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) turut menyangkal dakwaan yang mengaitkan mereka, kononnya berpihak kepada Anwar.
Bung Moktar yang merupakan Timbalan Ketua Menteri I Sabah menegaskan, dakwaan yang mengaitkan namanya merupakan spekulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya tidak tahu macam mana lagi mahu buat penafian. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat.
“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak. Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua negara,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, bukan sesuatu yang mudah buat seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD dan isu ini perlu dihentikan segera kerana mampu mengelirukan rakyat.
“Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial bebas untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat.
“Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu buat kenyataan. Jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong,” katanya.
Sementara itu, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan, dakwaan itu satu perbuatan tidak berasas sama sekali, kerana pihaknya sama sekali tidak pernah melakukan perjumpaan atau perbincangan bersama Ketua Pembangkang itu.
“Macam-macam ada dalam media sosial. Perjuangan DAP berbeza dgn perjuangan UMNO dalam banyak perkara. Sukar untuk seorng UMNO untuk menyokong DAP termasuk saya.
“Dan begitu juga pimpinan utama serta ahli UMNO yang lain. Saya tentunya tidak pernah berbincang untuk itu jauh sekali untuk bersama mereka,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa 10 Ahli Parlimen lain yang didakwa menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri berikutnya.
Menurut portal tersebut, sokongan yang diperolehi Anwar daripada 10 Ahli Parlimen tersebut adalah dalam bentuk SD yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH