14 DIS : Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga 14 Disember 2020, sebanyak 227 kluster telah pun ditamatkan, termasuk dua kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Benteng LD di Sabah dan Kluster Greenhill di Sarawak.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, terdapat sebanyak 418 kluster telah dilaporkan sejak bermulanya pandemik sehingga 14 Disember ini, termasuk 2 kluster baharu yang dikesan hari ini.
“Sebanyak 227 kluster telah tamat dan ini termasuk 2 kluster yang tamat pada hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (220 kes), Kluster Tapak Bina Muda (143 kes) dan Kluster Teratai (81 kes),” jelasnya dalam sidang media perkembangan kes harian Covid19 hari ini.
Jelasnya, 2 kluster baharu yang dikesan KKM hari ini melibatkan tempat kerja telah dikenal pasti sebagai Kluster Solar Ria dan Kluster Senu Setia.
“Kluster Solar Ria tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.
“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-73366) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember 2020 melalui saringan sebelum pulang ke negara asal.
“Sehingga 14 Disember 2020, sejumlah 2,339 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kluster ini melibatkan sembilan (9) warganegara dan 16 bukan warganegara,”katanya.
Manakala Kluster Senu Setia pula menurut beliau, melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke 83,123) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Disember 2020 melalui saringan sebelum pulang ke negara asal.
“Sehingga 14 Disember 2020, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19. Kesemua kes dalam kluster ini merupakan bukan warganegara,” ujarnya.