14 Dis – Laporan awal siasatan nahas melibatkan dua helikopter pada 8 Novermber lalu di Taman Melawati telah dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (BSKU), demikian kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut beliau, siasatan nahas pelanggaran di udara melibatkan dua helikopter, 9M-HCA dan 9M-HCB itu masih sedang diteruskan.
“Ini adalah laporan awal, penyiasatan mengenai kemalangan tersebut masih lagi berjalan.
“Laporan awal BSKU itu boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pengangkutan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Laporan awal BSKU itu menyebut, siasatan mengesahkan berlakunya satu pelanggaran dua helikopter di udara.
Berdasarkan laporan itu, helikopter 9M-HCB yang terhempas di tepi jalan menyebabkan kematian kedua-dua penumpangnya, manakala 9M-HCA berjaya melakukan pendaratan cemas di padang sekolah berhampiran walaupun mengalami kerosakan dan kedua-dua penumpang tidak mengalami kecederaan.
Data ADS-B menunjukkan yang kedua-dua helikopter itu bergerak dari Empangan Batu ke Klang Gates, dan ketika dalam laluan penerbangan itu mereka mengekalkan jarak antara 50 hingga 120 meter setiap masa, namun pada 11.44 pagi atas sebab yang masih tidak diketahui, helikopter itu mula mendekati dan berlanggar beberapa saat kemudian.