14 DIS: Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya menyeru semua kumpulan pembebasan Palestin membentuk kerjasama politik dan nasional yang tulen sesama mereka.
Memetik laporan Palestinian Information Center, Ismail berkata demikian dalam perutusan yang disiarkan melalui televisyen semalam sempena sambutan ulang tahun ke-33 Hamas.
Beliau turut menyatakan komitmen pergerakan pembebasan Palestin tersebut untuk mencapai matlamat itu.
Ismail menekankan tentang keperluan untuk menstruktur semula Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi mencapai kerjasama yang sebenar.
“Ulang tahun ke-33 Hamas kali ini tiba semasa berlaku perkembangan dan perubahan besar di rantau ini yang memberi kesan mendalam terhadap perjuangan Palestin serta negara-negara Arab dan Islam,” katanya.
Beliau menambah, Hamas juga akan meneruskan strategi membangun dan membina keupayaannya di Gaza dan akan bekerjasama dengan rakyat Palestin di Tebing Barat untik merangsang gerakan penentangan di wilayah itu.