14 DIS: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan terima menghadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Istana Kinta, Ipoh esok
Menurut laporan Bernama, majlis menghadap itu dijadualkan pada jam 11 pagi.
Sebelum ini, presiden parti Islam itu memohon menghadap Sultan Nazrin bagi memaklumkan kedudukan PAS berhubung krisis politik di Perak ekoran pertukaran Menteri Besar, baru-baru ini
Dalam sidang media semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memaklumkan bahawa permohonan beliau untuk menghadap Sultan Perak telah diperkenan baginda.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh tersebut.
Permohonan Hadi dikatakan bertujuan memberitahu Sultan Nazrin mengenai situasi politik yang melibatkan PAS ketika proses memilih menteri besar baharu Adun Kota Tampan Datuk Saarani Mohammad
Ia berlaku setelah Adun PAS Perak tidak hadir pada sesi menghadap yang dijadualkan dengan baginda pada Selasa lalu walaupun sebelum itu sudah dititah menghadap.
Tiga Adun PAS Perak itu bagaimanapun, menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak kerana tidak menghadap baginda pada Selasa lalu.
Mereka ialah Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Mohd. Khalil Yahaya.