14 DIS: Usaha pihak tertentu memburuk-burukkan PAS tidak berhasil apabila parti itu terus mencatatkan pertambahan ahli baharu yang ramai dalam masa enam bulan tahun ini.
Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, partinya menerima seramai 15,740 ahli baharu mulai Julai lalu hingga bulan ini.
Menurut beliau, jumlah itu dapat dicapai walaupun kegiatan agak terhad ekoran penularan pandemik COVID-19.
“Saya simpati dengan mereka yang sakit hati dengan PAS dan asyik menyerang PAS.
“Walau apa yang dilakukan, PAS tetap ada ahli dan penyokong,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Sehubungan itu, Iskandar menasihatkan pihak tertentu yang cuba membawa pandangan negatif agar tidak ‘cemburu’ dengan PAS apatah lagi parti itu terus mara ke hadapan dengan pertambahan bilangan keahlian baharu yang semakin meningkat dari masa ke masa.
Malah, katanya, lebih dua juta pengundi memilih PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun ketika itu, sentimen rakyat memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
“Nasihat saya, tak perlulah sakit hati sebab dibimbangi akan timbul penyakit lain yang mungkin susah diubati. Relaks, bertenang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH