15 DIS: Tiga Ahli Parlimen yang dikenakan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) telah memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendapatkan kebenaran menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, dalam surat bertarikh 14 Disember 2020, Dr Noor Hisham memberi pelepasan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri M Saravanan (Tapah) dan P Prabakaran (Batu) untuk hadir semasa pengundian mulai tarikh tersebut hingga 17 Disember.
“Saya difahamkan pengecualian ini bukan sesuatu yang baharu.
“Sebelum ini, pernah diberikan kepada individu bawah pemerhatian (PUS) yang ingin menghadiri pengebumian dan kes kecemasan di hospital,” katanya selepas sesi soal jawab berakhir pagi tadi.
Beliau menjawab isu kehadiran tiga Ahli Parlimen terbabit dalam proses undi belah bahagi sebelum Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan diluluskan semalam yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen PH Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Azhar menambah, mereka ditempatkan di dalam galeri awam semasa pengundian dijalankan, seperti diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 2(ii).
“Kehadiran mereka dicatatkan oleh bentara dewan, semak pengenalan diri semasa kehadiran dicatatkan dan semasa bergerak ke dewan untuk mengundi,” jelasnya.
Beliau juga membenarkan mereka memakai peralatan perlindungan diri (PPE) selaras dengan Peraturan Mesyuarat 41(f) dan mengambil kira keselamatan semya pihak.
Azhar turut mengumumkan perintah HSO untuk Dr Adham berakhir semalam, Prabakaran akan tamat esok manakala bagi Saravanan, perintah itu berkuat kuasa sehingga 17 Disember. – Oleh HUSSAINI AMRAN