15 DIS: Majlis Keselamatan Negara (MKN) berharap kerajaan negeri Sarawak mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh kuarantin 14 hari yang dikenakan terhadap rakyat yang ingin memasuki negeri itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai rakyat Sarawak yang kini berada di Semenanjung dijangka pulang untuk menyambut Krismas.
Selain itu, menurut beliau, ramai guru-guru yang berasal dari Semenanjung akan pulang ke Sarawak sebaik sahaja cuti sekolah berakhir.
“Mereka perlu dikuarantin dan yang bukan rakyat Sarawak perlu bayar kos kuarantin.
“Ramai yang meminta perkara ini untuk dipertimbangkan semula. Peraturan ini dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak dan kita faham,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri menambah, perkara itu telah disampaikan kepada wakil kerajaan negeri Sarawak dan mereka akan mengumumkan tindakan seterusnya berhubung prosedur operasi standard (SOP) itu.
Beliau turut mengumumkan, mesyuarat semalam juga secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka seperti Zoo Negara dan Legoland.
Selain itu, beliau memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan cadangan pembukaan aktiviti sukan kepada sidang khas MKN.
Ismail Sabri berkata, MOTAC dan KBS telah diminta membentangkan SOP terperinci setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan MKN. – Oleh HUSSAINI AMRAN