15 DIS: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengesahkan seorang kakitangannya di TMPoint Kajang, positif COVID-19 Ahad lalu, sekali gus menutup premis berkenaan mulai hari ini hingga 27 Disember depan.
TM dalam kenyataannya berkata, kakitangan terbabit ketika ini menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Berikutan itu, pengesanan kontak secara terperinci dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dibantu Pasukan Tindak Balas Krisis COVID-19 bagi mengenal pasti dan memaklumkan kakitangan lain yang berhubung rapat dengan individu terbabit.
“Kontak rapat dikenal pasti dihubungi KKM untuk nasihat dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Mengenai penutupan TMPoint Kajang, kenyataan itu menjelaskan ia dilakukan untuk memberi laluan kepada kerja sanitasi dan nyahkuman berdasarkan garis panduan ditetapkan KKM.
Katanya, cawangan TMPoint lain terus beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan panduan keselamatan tambahan TM bagi memastikan perkhidmatan untuk pelanggan terus tidak terjejas.