15 DIS : Desas desus yang mendakwa keretakan hubungan antara UMNO, Pas dan Bersatu di Perak berhubung lantikan Exco negeri ternyata tidak benar, apabila lantikan lima Exco Perak yang baharu ini turut melibatkan wakil Pas dan Bersatu.
Kelima-lima mereka dilantik hari ini setelah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi melengkapkan kuota Exco lantikan kerajaan negeri Perak
Exco kerajaan negeri Perak yang baharu melibatkan dua daripada Pas, dua daripada Bersatu dan satu daripada BN.
Lima Exco baharu yang dilantik itu ialah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama, Mohd Akmal Kamaruddin (Pas), Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad (BN), Adun Tualang Sekah, Dato Nolee Ashilin Mohd Radzi (Bersatu), Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri (Bersatu).
Antara yang turut hadir selain Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, adalah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.
Sebelum ini, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dilantik sebagai Exco negeri yang baharu setelah mendapat perkenan Sultan Perak.
Mereka ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota), keempat-empatnya dari UMNO manakala ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mewakili Bersatu.