15 DIS: Selain daripada aduan rasmi terhadap Ku Li, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga boleh membuat keputusan terhadap veteran UMNO itu sekiranya tindakan beliau bekerjasama dengan Tun Mahathir melanggar peraturan parti, demikian jelas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Zulhasnan berkata, MKT UMNO mempunyai kuasa muktamad untuk memutuskan sesuatu perkara termasuklah dalam isu berkenaan Ku Li..
“Bagi Lembaga Disiplin UMNO pula, kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan tanpa ada sebarang aduan rasmi terhadap beliau. Sekiranya ada aduan rasmi berhubung tindakannya itu, maka pihak Lembaga Disiplin UMNO boleh memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman terbuka veteran UMNO itu berhubung kerjasamanya bersama Dr Mahathir semalam.
Sementara itu, Zulhasnan enggan menjawab tindakan apa yang akan dikenakan terhadap Ku Li, sekiranya tindakan beliau itu merupakan satu kesalahan dan melanggar peraturan parti.
Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li sebelum itu menegaskan semua pihak memiliki kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka sokong dalam menjalankan kerjasama politik.