Oleh: HUSSAINI AMRAN
SEJAK dari mula lagi, Pakatan Harapan (PH) melangkah dengan sumbang apabila merancang untuk menggagalkan kelulusan Belanjawan 2021 selepas dibentangkan dalam Dewan Rakyat.
Kegagalan pertama mereka untuk menolak kelulusan peringkat dasar pada 26 November lalu mendedahkan mereka langsung tidak bersepakat.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dibiarkan terkontang-kanting apabila usul undi belah bahagi yang dicadangkannya tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada sekutu-sekutunya sendiri.
Tidak sampai 15 orang yang berdiri menyokongnya. Ramai rakan-rakan Mahfuz dalam PKR dan DAP seolah-olah buat tak tahu sahaja.
Akibatnya, cadangan Mahfuz tidak dapat diteruskan dan penyokong-penyokong PH mengecam sikap pemimpin-pemimpin mereka termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cakap tak serupa bikin.
Mana tidaknya, sebelum itu, cakap berapi-api untuk menolak Belanjawan 2021 tetapi mereka kalah tanpa melawan pada peringkat pertama.
Kemudian, pembangkang cuba lagi menyambung perancangan mereka apabila Belanjawan 2021 memasuki peringkat jawatankuasa dengan meminta undi belah bahagi sebelum meluluskan peruntukan bagi lapan kementerian. Semuanya gagal dan PH kalah teruk dengan ‘jaringan 27-0’.
Kemuncaknya dapat dilihat hari ini apabila Belanjawan 2021 diluluskan setelah bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat apabila keputusan undi belah bahagi masih tidak memihak PH.
Seramai 111 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 108 yang menolak manakala seorang lagi tidak hadir.
Tidak pasti apa yang bermain dalam kepala Mahfuz apabila meminta undi belah bahagi diadakan.
Mungkin beliau termakan mainan propaganda media pro-PH yang mendakwa kononnya lapan, 10 atau 13 Ahli Parlimen dari UMNO akan menolak Belanjawan 2021.
Dari awal lagi, ramai Ahli-ahli Parlimen terbabit seperti Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).
Malah, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyatakan, “Jika bajet digagalkan sekarang, kerajaan tidak ada masa lagi untuk memperbetulkannya.”
Jadi, tidak timbul soal segelintir Ahli-ahli Parlimen dari UMNO kononnya menjadi ‘pengkhianat yang bersekongkol dengan DAP dan PKR’.
Sudah jelas lagi nyata bahawa mereka bersama-sama menyokong belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Memang ada beberapa perkara yang UMNO ingin ditambah baik khususnya dari segi pelaksanaan i-Sinar dan moratorium pinjaman.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun sudah beri jaminan kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperhalusi cadangan mereka.
Rakyat juga dapat melihat bahawa dakwaan Anwar kononnya beliau mempunyai ‘sokongan yang kukuh dan meyakinkan’ sebelum ini hanyakah omong-omong kosong belaka.
Selepas kegagalan yang memalukan ini, lebih elok jika Anwar mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkan kepada tokoh lain yang lebih berkredibiliti.
Lagipun, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terang-terangan menyatakan beliau tidak mahu tunduk dan mentaati arahan Anwar.
Kalau begitu caranya, eloklah Anwar mengundur diri. Bukan setakat dari jawatan Ketua Pembangkang, tetapi bersara terus dari gelanggang politik tanah air yang semakin meluat melihat kebejatan tingkah laku beliau dan konco-konconya.