16 DIS : Yang diPertuan Agong telah bersetuju mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi bahagian Pilihanraya Parlimen Gerik, Perak dan bahagian Pilihanraya Negeri Bugaya di Sabah, sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 setelah mendapat sembah maklum daripada Jemaah Menteri.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersetuju pilihanraya kecil (PRK) bagi Gerik (P.054) dan Bugaya (N.66) yang dijadualkan pada 16 Januari dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
“Jemaah Menteri pada 4 Dis lalu telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda berhubung dua PRK tersebut dan berbincang mengenai kesan PRK Gerik dan Bugaya sekiranya diadakan dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih menular di negara ini.
“Mengambil iktibar penularan Covid-19 ekoran Pilihanraya negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam,” ujarnya menerusi satu kenyatan hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihanraya tersebut.