16 DIS: Kementerian Kesihatan telah menerima sebanyak 43,078 panggilan melibatkan mereka yang mengalami sindrom pasca traumatik (PTSD) akibat COVID-19 setakat 1 Disember lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kebimbangan akibat COVID-19 bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi membabitkan negara lain yang terjejas akibat pandemik itu.
“Antara perkara yang disebut untuk dibantu seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma terhadap jangkitan.
“Kementerian Kesihatan juga telah menubuhkan jawatankuasa bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian lain supaya semua perkara yang dibangkitkan itu dapat dilaksanakan dan capaian (outreach) dilaksanakan kepada semua 542 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negara untuk dikunjungi oleh pegawai kesihatan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Dr Adham menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Mohd Radzi tentang rancangan pihak kementerian dalam mengatasi PTSD akibat kesan psikologi pasca kuarantin COVID-19.
Sementara itu, menjawab soalan asal Ras Adiba tentang usaha Kementerian dalam mengatasi masalah psikologi dan mental ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Adham memberitahu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP/PKPB), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama MERCY Malaysia telah mewujudkan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial.
Menurut beliau, ini bagi memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan kaunseling kepada masyarakat termasuklah ibubapa yang mempunyai anak-anak OKU di samping perkhidmatan kaunseling melalui telefon akan diberikan oleh pasukan yang terdiri dari pegawai psikologi kaunselling terlatih termasuklah bantuan kecemasan psikologi untuk membantu mereka memerlukan.
“Antara usaha-usaha lain yang turut dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan adalah mewujudkan pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial di setiap daerah; membangunkan bahan-bahan Pendidikan Kesihatan Mental dan psychoeducation; bekerjasama dengan pihak agensi kerajaan yang lain seperti KPWKM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Women’s Aid Organization (WAO) dan Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA);
“Selain itu, Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan kesihatan mental menggunakan instrumen Depression, Anxiety and Stress Screening (DASS) yang dibuat di Klinik Kesihatan melalui Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD);ntervensi awal di klinik kesihatan meliputi teknik relaksasi dan kaunseling dan perkhidmatan kesihatan (medical outreach) diberikan kepada OKU dan penjaga untuk hadir ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
“Selain itu, ahli jawatankuasa bagi setiap PDK diwakili oleh anggota kesihatan yang berperanan memberi khidmat nasihat, bimbingan dan kepakaran kepada OKU dan penjaga/ibubapa meliputi kesihatan mental.
“Talian KASIH 15999 dan Talian Khas Kaunseling COVID-19 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Perkhidmatan tele-kaunseling selama 24 jam dilakukan setiap hari merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada di tahap yang stabil,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH