16 DIS – Kerajaan PAS Kelantan hari ini bersetuju memansuhkan jawatan penyelia di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh UMNO dan Bersatu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pas Kelantan mengambil keputusan itu atas semangat kerjasama antara parti tersebut dengan UMNO dan Bersatu.
“Selama ini kita ada pegawai penyelia di kawasan DUN dan Parlimen yang kita kalah sama ada kepada UMNO atau Bersatu. Bermakna selepas ini, kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan terus kepada wakil rakyat UMNO dan Bersatu di kawasan masing-masing mulai tahun depan.
“Mengambil semangat kerjasama, kerajaan negeri bersetuju untuk memansuhkan jawatan penyelia di kawasan itu bagi memberi ruang kepada wakil rakyat di situ untuk berperanan sama ada daripada UMNO dan Bersatu bermula tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Beliau berkata individu yang memegang jawatan penyelia terbabit akan dilantik sebagai pegawai seranta di bawah Pejabat Menteri Besar.
“Jumlah penyelia yang dimansuhkan jawatan ini ialah mengikut kawasan yang tidak dimenangi oleh PAS seperti Parlimen Jeli, Machang, Tanah Merah, Ketereh, Gua Musang serta beberapa kawasan DUN seperti Kok Lanas dan Galas,” jelasnya.