15 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai perancangan yang teliti bagi menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan jumlah yang maksimum sekiranya Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) terpaksa dilaksanakan dalam masa terdekat pada tempoh pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, SPR akan memperkenalkan peraturan-peraturan yang lebih ketat dalam menjamin keselamatan pengundi daripada wabak COVID-19 di samping memastikan proses pengundian akan diselesaikan dengan segera.
“Di mana peraturan-peratuan yang akan diperkenalkan ialah dengan memperbanyakkan tempat-tempat atau pusat daerah mengundi dan juga memperbanyakan saluran-saluran mengundi. Oleh yang demikian, proses pengundian akan berjalan dengan lebih segera dan akan selesai dengan lebih awal.
“Jadi, ini memberi satu jaminan dan keyakinan kepada pengundi-pengundi bahawa mereka akan dapat melalui atau melaksanakan proses pengundian dengan cepat, dengan lebih sempurna dan insya-Allah akan terselamat daripada gejala COVID-19 tersebut,”katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad tentang usaha kerajaan bagi memastikan bilangan pengundi tidak turun secara mendadak andainya PRU-15 dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Idris menyatakan sejauh mana kesiapsiagaan SPR untuk melaksanakan PRU dalam suasana kebiasaan baharu, Shabudin memberitahu, SPR dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah merangka dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) iaitu garis panduan pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU dan pilihan raya kecil (PRK).
Menurut beliau, ia disesuaikan dengan arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa di bawah Akta 342 yang dikuatkuasakan seperti yang dilaksanakan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, PRK DUN Slim dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
“Garis panduan ini mencakupi semua proses pelaksanaan pilihanraya iaitu taklimat petugas pilihanraya, hari penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, proses pengeluaran penerimaan dan pengiraan undi pos, tempoh berkempen, hari undi awal dan hari undi biasa dan penjumlahan rasmi undi.
“Antara langkah pencegahan pelaksanaan pilihanraya adalah iaitu pertama pembersihan dan sanitasi di semua premis yang telah dikenal pasti dan kedua kawalan kehadiran di setiap premis digunakan bagi tujuan pilihanraya dalam jumlah paling minima yang tidak menjejaskan proses pilihanraya dan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter serta penggunaan aplikasi MySejahtera dan buku catatan disediakan.
“Jika ada pengundi bergejala seperti sakit tekak dan sesak nafas tidak dibenarkan masuk ke premis dan diminta meninggalkan premis itu dengan segera di samping syarahan dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan. Oleh demikian, SPR memberi jaminan bahawa pelaksanaan pengundian adalah berjalan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH