16 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat bagi Parlimen Gerik, di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, di Sabah.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, segala urusan berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik dan DUN Bugaya tidak akan diteruskan sehingga satu tarikh lain yang ditetapkan.
“SPR akur dengan keputusan dan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pengisytiharan proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi Parlimen P.054 Gerik Perak dan DUN N.66 Bugaya Sabah, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Sehubungan dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak dan DUN N.66 Bugaya, Sabah tidak akan diteruskan dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Hari ini, Seri Paduka berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat bagi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya sebagai langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 selepas mendapat sembah maklum daripada Kabinet.
Berikutan itu Muhyiddin, dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka bersetuju PRK Parlimen Gerik dan Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Kabinet pada 4 Disember lalu telah menyembah maklum kepada Seri Paduka berhubung dua PRK tersebut dan berbincang mengenai kesan PRK Gerik dan Bugaya sekiranya diadakan dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih menular di negara ini. – Oleh HAIKA KHAZI