17 DIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghantar penyelidik ke China untuk menyiasat punca virus yang mengakibatkan pandemik Covid-19 pada Januari tahun depan.
Pengarah Kecemasan Serantau WHO di Pasifik Barat, Babatunde Olowokure, dalam satu sidang media menjelaskan, pertubuhan dunia itu sebelum ini telah pun berbincang dengan Beijing mengenai lokasi perjalanan pasukan itu di China.
“WHO masih terus berhubung dengan China dan akan berbincang mengenai pasukan itu dan lokasi mereka akan melawat. Persetujuan ketika ini adalah China mengalu-alukan pasukan antarabangsa itu dan kami menjangkakannya pasukan tersebut akan dihantar pada awal Januari,” kata Olowokure.
Semalam, seorang anggota WHO dan diplomat memberitahu media bahawa pasukan antarabangsa diketuai WHO itu dijangka berlepas ke China pada minggu pertama bulan hadapan untuk menyiasat asal-usul virus yang mencetuskan pandemik COVID-19.
China dilaporkan mengalu-alukan kedatangan penyelidik WHO tersebut dalam usaha untuk mengesan punca virus pandemik Covid-19 itu.
Pasukan yang terdiri daripada 15 orang pakar antarabangsa itu kini bersiap sedia untuk berlepas ke Wuhan untuk meneliti bukti, termasuk sampel manusia, haiwan yang dikumpul penyelidik China untuk meneruskan kajian awal mereka.
Pakar Kanan Penyakit Haiwan WHO, Peter Ben Embarek sebelum ini memberitahu, misi itu juga termasuk menemubual pekerja pasar mengenai bagaimana mereka dijangkiti virus itu dan setakat ini, tiada sebarang petanda virus ini dicipta oleh manusia.
Amerika Syarikat (AS) yang menuduh China menyembunyikan situasi sebenar wabak itu, menggesa siasatan telus diketuai WHO dilaksanakan, selain mengkritik syarat dikenakan, yang membenarkan saintis China menjalankan fasa pertama kajian awal berkenaan.