17 DIS: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk prosiding isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion oleh Kementerian Pertahanan pada bulan depan.
Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, selain bekas Menteri Pertahanan itu, turut dipanggil ialah bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek LCS, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
“PAC juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021.
“PAC berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan laporan berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Setakat ini, empat mesyuarat dan prosiding telah dijalankan pada 5 dan 18 November serta 1 Disember dan semalam manakala saksi-saksi yang dipanggil ialah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ambrin Buang.
Saksi-saksi lain ialah Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS (PPLCS), Laksamana Pertama Shaiful Bahri Baharuddin; bekas Ketua Pengarah PPLCS, Laksamana Pertama Azuwan Harun; bekas Ketua Pengarah PPLCS Laksamana Muda Datuk Ir Mohd Shaiful Adli Chung Abdullah dan bekas Ketua Pengarah PPLCS, Kepten (B) Azhar Jumat.
Kah Woh menambah, pelantikan BNS sebagai kontraktor dibuat secara rundingan terus dan sebanyak RM6.083 bilion telah diayar setakat Oktober lalu.
“Tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini.
“Isu ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian / Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan yang diterbitkan pada tahun 2019,” jelasnya.
Beliau berkata, PAC berpendapat bahawa kerajaan perlu memutuskan penyelesaian secepat mungkin kerana isu tersebut bukan sahaja membabitkan kelemahan tadbir urus malah memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN