17 DIS : Ketua Pesuruh Jaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menasihati orang ramai agar berwaspada dengan penipuan individu tertentu yang menyamar sebagai pegawai SPRM.
Menurut beliau, kumpulan ini melakukan penipuan dengan mendakwa sebagai pegawai SPRM atau kenalan rapat dengan pegawai kanan agensi tersebut bertujuan untuk meminta wang rasuah daripada pihak yang sedang disiasat SPRM.
“Saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik seumpamanya seperti mendakwa mengenali rapat pegawai kanan SPRM serta menunjukkan gambar-gambar bersama pegawai kanan SPRM.
“Mereka juga menggunakan taktik menunjukkan kad-kad tertentu kononnya milik pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya di SPRM serta menunjukkan gambar-gambar berada di premis dan program-program pencegahan SPRM.
“Taktik berkenaan digunakan bagi meyakinkan mangsa sekali gus bertujuan mendapatkan wang rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas kes individu yang menyamar sebagai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, beliau berkata kegiatan tersebut berjaya dibongkar dengan hasil kerjasama mangsa.
“Sehubungan itu, semalam pihak SPRM telah menahan empat individu yang mengambil wang rasuah daripada pihak sedang disiasat SPRM termasuk perancang utamanya dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang mengaku sebagai Pengarah SPRM.
“Empat individu tersebut berumur antara 39 dan 54 tahun yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu, direman selama enam hari sehingga 22 Disember.
“Manakala perancang utama yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dan dua lagi ditahan dalam satu operasi semalam di sebuah hotel di Putrajaya, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka,” jelasnya.
Menurut Azam, ahli kumpulan itu dikatakan sanggup memasuki kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi meyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM.
Beliau meminta orang ramai merujuk kepada SPRM untuk pengesahan sekiranya dihubungi mana-mana pihak yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai SPRM atau timbalan pendakwa raya.